Ahad, 23 Ogos 2020

KITA KAN SAHABAT (PART 1)



Hm.” Matanya berkaca-kaca. Wajah jernih itu bertukar muram. Syafiqah mengawal sebak di dada. Soalan daripada wartawan yang menemuramahnya cukup membuatkan dadanya berombak kencang.


“Puan Syafiqah?” Suara daripada wartawan yang bertubuh kecil itu kembali menarik Syafiqah ke alam nyata. Kerlipan lampu kamera tidak henti-henti menyimbah wajahnya, hingar bingar wartawan bersama microphone di tangan kembali menjengah ke ruang matanya yang sayu.


“Maaf, boleh ulang semula pertanyaan saudari?” Syafiqah mengorak senyum meski dadanya masih berombak kencang.


“Apakah inspirasi Puan Syafiqah sehingga menjadi salah seorang usahawan yang paling berjaya di Malaysia?”


Syafiqah kembali merenung jauh. Bibirnya bergerak-gerak perlahan,seolah-olah memikirkan perkataan yang sesuai untuk dilafaz.


“awak dah makan?” Wajah bersih Syafiqah yang terselah sinar keimanannya tersenyum mesra. Sahabat di hadapannya ditatap penuh kasih, bersama sahabat itulah dia menyelusuri suka dan duka kehidupan sebagai seorang pelajar. Bersama sahabat nan satu itulah dia berpaut tatkala lemah, sahabat itulah yang menghulurkan tangannya saat Syafiqah tersungkur di medan perjuangan.


Khalilah tunduk. Perlahan dia menggeleng.


“Belum?” Bulat mata Syafiqah memandang sahabat nan satu itu. Sudah pukul 3 petang, masih tak makan lagi? Sejenak, kerutan di dahi perempuan manis itu kelihatan sehingga hampir mencantumkan kedua-dua keningnya.


“Eh... aa.. dah. dah.” Khalilah kelu, serba-salah melihat wajah tidak senang Syafiqah.


“Awak tipu Saya ye?”


“Eh, mana ada.” Khalilah menoleh ke arah yang bertentangan dengan Syafiqah.


“Kalau tak ada, kenapa tak nak tengok saya?  Khalilah, saya bukan baru kenal awak semalam tau.”


Perlahan Khalilah kembali menundukkan wajah. Dia tahu, dia tidak akan mampu untuk berbohong dengan sahabat yang paling dicintainya dunia akhirat.


“Jom.” Syafiqah berdiri, mengibas-ngibas sedikit jubahnya.


“Pergi mana?” Buntang mata Khalilah lantaran terkejut.


“Makanlah.”


“Tapi...tapi..saya...”


“Saya belanja!” Syafiqah menghentikan bicaranya di situ, sambil tangan pantas menyambar tangan sahabat yang paling dicintainya itu.


Khalilah akur.


Suasana di tasik universitinya sangat mendamaikan. Ditambah dengan wakaf-wakaf kecil yang disediakan untuk para pelajar beristirahat, Khalilah dan Syafiqah amat gemar melayan perasaan di situ. Sungguh, jika segalanya dilihat menerusi mata hati, tiada satu apa pun yang dapat menandingi kehebatan Allah.


“Syafiqah” Khalilah memanggil.


Syafiqah yang sedang termenung jauh terhempas kembali ke alam nyata.


“Ya.”


“Awak tengok tu.” Jari telunjuk Khalilah terus menghala ke satu arah.


“Pokok tu?” Syafiqah mengangkat kening. “Kenapa?”


“Nampak tidak banyak daun-daun dia sedang gugur?”


Syafiqah tergelak memandang wajah serius Khalilah ditambah lagi dengan bahasa pujangga ibarat sebuah novel. “Khalilah sayang.... Memanglah daun-daun tu gugur, angin kuat ni, nak hujan agaknya.”


“Ish... Bukan tu maksud saya.”


“Jadi?”


“Kan bagus kalau dosa-dosa kita gugur macam tu..”


Syafiqah terdiam, terus sahaja matanya digenangi air. “Khalilah..”


“Ya.”


“Terima kasih.”


“Kenapa?”


“Sebab selalu ingatkan saya...”


di waktu kaya ingatlah pada Allah

di waktu miskin ingatlah pada Allah

di waktu sihat ingatlah pada Allah

di waktu sakit ingatlah pada Allah


Telefon bimbit Khalilah berbunyi, lagu Sakha – Ingatlah Allah yang berkumandang meresap terus ke dalam hati – Syafiqah.


Perlahan, dia menyanyikan lagu itu sementara Khalilah bercakap di telefon.


“Ehem!” Khalilah tersenyum, telefon di tangannya kembali diletakkan ke dalam beg. “Berangan nak masuk Akademi Fantasia ke Cik Syafiqah?” Tangannya pantas mencubit perut Syafiqah.


“Mana ada.” Wajah Syafiqah memerah. “Awak nak jadi apa nanti bila dah besar?”Dia menyambung.


“Aii…tak cukup besar ke saya ni?” Khalilah bersenda.


“Bukanlah,maksud saya bila dah grad nanti.”


“Ana nak jadi pensyarah.” Bersinar-sinar mata Khalilah menceritakan mengenai cita-cita yang diimpi.


“Wah! Ye ke? Seronoknya….” Wajah Syafiqah berubah ceria, berkongsi kegembiraan teman sejati.


“Awak pula?”


“Saya nak jadi usahawan!”


“Kenapa?”


“Sebab,


Nabi ada bersabda, 9/10 sumber rezeki adalah daripada perniagaan, kalau Allah izin rezeki saya banyak, bolehlah saya tolong orang susah.”


“Macam saya?” Khalilah mengorak senyum.


“Macam awak apa?” Syafiqah kerut kening.


“Orang susah macam saya?” Khalilah masih tersenyum.


Wajah Syafiqah bertukar hiba, “Awak cakap lagi macam tu, saya tak mahu cakap dengan awak.” Muncungnya ditarik.


Khalilah tergelak. “Baiklah, maafkan saya tuan puteri Syafiqah yang cantik jelita.”


Syafiqah diam.


“Syafiqah..” Khalilah memanggil.


“Ya.” Syafiqah menyahut, matanya masih tertancap pada tasik yang tenang airnya.


“Nanti bila dah kaya, jangan lupakan saya ya.” Khalilah bersuara lemah.


Syafiqah pantas melarikan anak matanya ke wajah Khalilah, pantas tubuh kecil itu dipeluknya. “Saya takkan lupakan awak.”


Bersambung.........


23AUGUST2020 | 15:47PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HEALING JOURNEY 2 : HYPOMANIA

Gembira, bersemangat, bertenaga, yakin, itulah apa yang aku rasa. Aku tidak tahu kenapa aku menjadi gembira. Padahal, tidak ada apa-apa pun ...